Come & Click With Us

Tuesday, December 6, 2011

Berapa Kad Kredit Anda Ada??????

Kepada yg mempunyai kad kredit lebih daripada 2 syarikat, anda hanya ada masa sebelum 31 Dis 2011

Berkuat kuasa serta-merta, syarat kelayakan untuk mendapatkan kad kredit disemak seperti yang berikut:
Kelayakan pendapatan minimum untuk pemegang kad kredit baharu ditetapkan pada RM24,000 setahun;


Perkara berikut adalah terpakai bagi pemegang kad yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang:
Pemegang kad hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja
Pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad diberikan tempoh sehingga akhir tahun 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing. Pemegang kad juga akan diberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk menyelesaikan baki hutang kad kredit yang telah dibatalkan bagi memenuhi keperluan ini.
Had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar.
Pemegang kad sedia ada yang mempunyai baki hutang kad kredit melebihi had maksimum kredit yang ditetapkan diberikan tempoh tangguh selama dua tahun untuk memenuhi keperluan baharu ini.

Pengeluar kad akan berurusan dan berbincang dengan pemegang kad yang terbabit bagi membantu mereka menstrukturkan semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah ini. Selain itu, pemegang kad juga boleh menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan nasihat berkaitan dengan pengurusan hutang mereka.

Amalan Perniagaan yang Bertanggungjawab dalam Pemberian Kad Kredit

Pengeluar kad kredit dikehendaki untuk mengamalkan pendekatan yang wajar, telus dan bertanggungjawab dalam memasarkan dan menawarkan kad kredit kepada pengguna. Pengeluar tidak dibenarkan untuk menaikkan had kredit pemegang kad tanpa persetujuan pemegang kad terlebih dahulu. Pengeluar juga tidak dibenarkan untuk menawarkan pendahuluan kredit dalam bentuk cek berbayar kepada pemegang kad melainkan pemegang kad kredit telah memohon untuk pendahuluan kredit.

Bagi memudahkan pengguna membuat perbandingan dan keputusan berdasarkan maklumat yang mencukupi, pengeluar kad dikehendaki menyediakan Lembaran Penzahiran Produk (Product Disclosure Sheet) yang mengandungi maklumat penting mengenai ciri-ciri kad, fi dan tanggungjawab pemegang kad. Pengeluar kad juga dikehendaki memberikan peringatan dengan jelas untuk memberitahu pemegang kad akan implikasi jika hanya membuat bayaran semula secara minimum dan sebahagian. Pada akhir setiap tahun, maklumat khusus mengenai tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan baki pinjaman pemegang kad kredit dan jumlah kos faedah sekiranya pemegang kad kredit hanya membuat pembayaran minimum akan dikeluarkan kepada setiap pemegang kad. Ini akan berkuat kuasa untuk penyata tahunan yang dikeluarkan mulai bulan Disember 2011.

Meneruskan Penambahbaikan pada Keselamatan Infrastruktur Kad Kredit

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi keselamatan kad kredit dan memupuk keyakinan orang ramai bahawa kad kredit merupakan satu instrumen pembayaran yang selamat digunakan, berkuat kuasa 1 Januari 2012, pemberitahuan transaksi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) akan dilaksanakan oleh pengeluar kad kepada pemegang kad mereka selepas transaksi dilakukan. Langkah ini akan disusuli dengan pelaksanaan pengesahan nombor pengesahan peribadi (Personal Identification Number, PIN) untuk semua transaksi kad kredit mulai 1 Januari 2015.

Untuk maklumat lanjut berhubung dengan garis panduan baharu kad kredit, orang ramai boleh menghubungi ABM Connect di 1-300-88-9980, pusat hubungan pengeluar kad masing-masing dan TELELINK Bank Negara Malaysia di 1300-88-5465.

No comments:

Post a Comment